Thursday, February 24, 2011

IBU MITHALI : A true story - MUST READ!

Assalamu'alaikum anak2ku serta saudara2ku.
Semalam Pak Su Man terima email bersama cerita yang menyentuh perasaan ini...
Agak panjang coretannya.....tapi bacalah, insyaallah, perasaan kamu juga akan tersentuh ....

Pak Su Man nak berkongsi cerita ni, semuga dapat memberi peringatan buat kita semua, betapa murninya pengorbanan setiap wanita yang dipanggil ibu/mak/mama....


IBU MITHALI - OLEH NORHASHIMAH HASHIM

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di
lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Misali". Tangan kanannya
menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula
memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita
kepada penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir. Penerima ini
agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu,
dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik
Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat
itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak
gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang
berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk
bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk
naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima
sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas,
sebaik sahaja mereka dijemput?*

* Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai
sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta
bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang
penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar
suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati
lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang
akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang
sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke
kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju
kurung biru muda yang dipakainya.'

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.
Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku
notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu
untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku
memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat
bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar
dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah
berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada
ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan
bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk
semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat
mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang
paling selesa.

"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah,
kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang
gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan
saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya
sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini."

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada
percakapan gadis itu.

"Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah
kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah
hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah
anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan
diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak
kandungnya"

"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu
sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang.
Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya
mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak
kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang
bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam,
jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru,
seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Misali" yang baru menerima
anugerah sebentar tadi."
Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

"Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin
kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.*

* "Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang
merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot
ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil
berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan
jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak."

"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan
fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama.
Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti
bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan,
bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun."
Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali.
Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

"Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah
menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih
dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan
minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak
hendak melayan makan dan, pakai mereka."
"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui
abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian
istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka.
Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat
semua itu sendiri."

"Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri,
kan ?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun,
kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya

"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segalagalanya
untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu
berkira!"*

* "Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah.
Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah
mak terpaksa membantu mereka."

"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua
anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata
mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"

"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu
tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya.
Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

"Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu
bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun
cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan
atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas
menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan
itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan
kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin
kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar
mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya
kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat
kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka
menyusahkan hidup saya."*

* "Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya
pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
"Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah
orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi."

"Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka,
bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap
kali saya mencadangkan hal itu.

"Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian
mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan
keluar yang telah sedia terentang di hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia
dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat
bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu,
saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah,
berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa
memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin
mereka."
Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita
gadis itu.

Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan
kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup
menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak
benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan
makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik
mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak
pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju
saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan
air.
Penat saya membersihkannya. "

"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh
saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah.
Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di
sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu
kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."

"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah
kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada
orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak."

"Mirah!" Ibu merangkul saya. " Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang
ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah."

"Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila
situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah
melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak
yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri
betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang
pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak
pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada
mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu,
walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu
rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang
lain."

"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu
tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu
sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan
tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat
tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang,
dan kakak-kakak kena lempanglah."

"Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun
saya tahu saya bersalah.

"Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri
yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan
suruhan mak."

"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu."

"Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau
itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak."

"Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."*

* "Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik
daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke
sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah.
Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain
pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam
peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga
abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima
hadiah."

"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana
saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar
malu."

"Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada
ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat
pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan
kesedaran baru." "Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh
selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan
kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus
menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa
bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. "

"Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu
bilik saya. "Mirah."

"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura
tidur."*

* "Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah
dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang
dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak,
sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat
itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji,
lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau
orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa
tinggalkan rumah"

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi
saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan
menatap wajah mak ketika itu.

"Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik
lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian
rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah
segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini.
Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga.
Mirah telah. .."

"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata
yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan
esak tangis.

Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan
saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung
dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak-
kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi
mereka.*

* Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak
gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah
lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak
tawaran tersebut.

"Kenapa Mirah tolak tawaran itu?"

"Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan
sempurna?"

"Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan
gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! "

"Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?"

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip
memandang saya.

"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.
"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping
dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. "

"Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah
menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya.

"Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah
semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka
terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada
wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk
terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik
yang baik.*

* Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya
daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga
makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya
terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk
membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh
semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar
ceritanya dengan penuh minat.

"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan
pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat
pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya
pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang
kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya
peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan
kakak-kakak. "

"Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang
guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus
akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya,
berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip
sepanjang hayatnya."

"Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga
abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh
apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah."

"Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak
ada, bang?" suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak
harapkan Mirah pula?"

"Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh
salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya. "

"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib
abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang
mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai
tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang
telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang
memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu,
tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan
hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca
mengenai pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus
mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu,
dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan
terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan
terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti
lazimnya anak- anak "Ibu Misali" yang lain.

"Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui
mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain.
Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan
yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak
ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah."*

* "Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi,
mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk
menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil
lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali"
pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga
anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana
anak-anak adalah amanah Tuhan."

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk
anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap
kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain,
terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan
anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan,
mental."

"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan
saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya
sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini.
Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu
lain yang senasib dengan mak."

"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku
sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi
kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh
pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku
dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau,
apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha
mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau
sendiri.'
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.*

* Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari
helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku
semula.

"Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang
tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia
Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pemilihan "Ibu Misali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Misali" serta
beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia
Puan Sri dipersilakan. "

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya
melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya
menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan
perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi.

Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang
mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu,
beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah
berladung.

Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian,
seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu Misali" sebelumnya, naik
ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah
lebatlah hujan air mata penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir
itu.